Thursday, October 11, 2007

SUMBANGAN PASCA BANJIR - SATU KOMITMEN






Batu Pahat (6 Mac 2007)- Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Anak Benih Pokok Buah-buahan seperti rambutan, cempedak, durian, limau kasturi dan pulasan kepada para petani mangsa banjir di kawasan Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

Sebanyak 500 batang pokok buah-buahan telah disampaikan oleh Y. Bhg. Dato’ Prof. Dr. Nik Mustapha R. Abdullah Naib Canselor UPM kepada 20 orang wakil penduduk. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Ghizan Salleh, Tuan Haji Yahya Mohd Salleh, Pegawai Daerah Batu Pahat dan Tuan Malik Bulat, Pegawai Pertanian Daerah Batu Pahat.


Majlis ini secara langsung telah membuktikan kesungguhan UPM dalam usaha menghulurkan bantuan kepada masyarakat, terutamanya dari segi kepakaran dan khidmat nasihat.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan tunjuk cara penanaman pokok dengan tepat buah-buahan serta pencantuman mata tunas oleh pegawai Taman Pertanian Universiti.Menurut Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Nik Mustapha R. Abdullah, sumbangan ini diharap akan membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh petani yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor merupakan salah satu kawasan yang telah dilanda banjir dan tenggelam selama 18 hari. Akibat daripada bencana tersebut hasil tanaman dan ternakan musnah sama sekali.

Sebelum ini, pihak UPM turut menghantar beberapa pakar kejuruteraannya untuk mengkaji sistem pengurusan sumber air terutama di daerah Batu Pahat. Beberapa penyelidik UPM telah dihantar untuk membuat penilaian awal dari aspek teknikal mengenai anggaran kerosakan dalam tempoh masa yang dekat dan jangka panjang, yang melibatkan sektor pertanian di kawasan yang dilanda banjir tersebut.

Bagi pelan tindakan jangka pendek, beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian ialah mengenai pemulihan kawasan, tanaman dan juga sosio ekonomi. Bagi pemulihan kawasan, antara tindakan yang perlu dilakukan ialah dengan memulihkan tanaman, struktur tanah dan infrastruktur di kawasan yang terlibat. Manakala bagi perancangan jangka panjang pula, telah dicadangkan untuk menjalani penyelidikan lanjut bagi memperbaiki kemudahan infrastruktur tertentu seperti pengurusan empangan air.

“Pihak UPM juga bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan pakar kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negara ini bagi mencari pendekatan yang terbaik untuk menangani banjir berpanjangan, seperti yang berlaku di Johor ini.�? tambah Naib Canselor UPM.

Sebelum ini, rombongan UPM telah berkunjung ke Senggarang, Batu Pahat untuk melihat situasi dan kesan banjir yang dihadapi di kalangan penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Pemberian benih pokok buah-buahan ini membuktikan keprihatinan pihak UPM menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor, khususnya pekebun-pekebun kecil yang memerlukan bantuan akibat tanaman mereka terjejas kerana banjir.

No comments: