Friday, October 26, 2007

Teori Transisi Demografi

Peralihan Demografi

Sebelum abad ke-17, pertambahan penduduk dunia adalah perlahan, tetapi selepas abad ke-17 pertambahan penduduk dunia mulai cepat. Keadaan ini berlaku bukannya disebab oleh saiz keluarga semakin bertambah besar. Sebaliknya, secara purata bilangan ahli dalam keluarga yang semakin kecil. Pertambahan berlaku kerana penduduk dapat hidup lebih lama berbanding sebelumnya. Walaubagaimanapun, pertambahan penduduk berbeza antara negara. Ada negara yang mengalami kadar pertambahan yang tinggi dan ada juga yang rendah. Ada juga berada dalam peringkat peralihan daripada pertumbuhan yang tinggi ke pertumbuhan rendah. Proses peralihan ini berlaku dalam suatu jangka masa yang panjang. Peralihan demografi dapat dibahgikan kepada tiga peringkat iaitu,

Peringkat Pertama

Dalam peringkat ini pertumbuhansemula jadi adalah rendah disebabkan oleh kadar kelahiran yang tinggi (melebihi daripada 35 orang per 1000 orang) yang diikuti oleh kadar kematian yang tinggi juga (melebihi 30 orang per 1000 orang). Peringkat ini bercirikan suatu masyarakat agrarian yang mana kadar kelahiran dan kematian adalah tinggi dan turun naik. Apabila pengeluaran hasil makanan tidak mencukupi, zat pemakanan rendah, air tidak bersih dan wabak penyakit berlaku, umumnya ramai penduduk, terutamanya kanak-kanak dan bayi akan mati seperti di Angola dan Afghanistan pada tahun 1965-1970. Kepadatan penduduk berubah daripada jarang ke sederhana, pengeluaran pada amnya rendah, penglibatan kanak-kanak dalam sektor pekerjaan adalah tinggi yang memberi keuntungan kepada sesebuah keluarga besar, peluang pekerjaan di luar sektor pertanian adalah terhad, jangkaan hayat rendah, pengetahuan teknikal kurang dan perkembangan Bandar masih lagi dalam peringkat permulaan.

Peringkat Kedua

Dalam peringkat kedua, kadar kelahiran masih lagi tinggi (melebihi 30 orang per 1000 orang). Ini disebabkan oleh keluarga yang besar. Namun demikian kadar kematian telah menurun dengan cepatnya (lebih daripada 15 orang per 1000 orang) disebabkan kenaikan dalam taraf kesihatan, pertambahan dalam pengeluaran makanan, kemajuan dalam bidang perubatan imunisasi terhadap beberapa penyakit dan kecekapan dalam sistem pengedaran. Selain daripada itu, beberapa program kebajikan untuk mengatasi kemiskinan dan kekurangan zat makanan di kalangan penduduk yang diperkenalkan mulai mendatangkan hasil dan ini menyumbagkan kepada penurunan kadar kematian. Perbandaran mulai juga meningkat. Jangkaan hayat mulai meningkat perlahan. Dalam peringkat kedua model ini boleh dibahagikan lagi kepada tiga peringkat yang lebih kecil iaitu :

a) Dalam fasa awal peringkat kedua, kadar kelahiran tetap tinggi manakala kadar kematian mulai menurun tetapi masih lagi tinggi. Contohnya Bolivia dan Indonesia dalam tahun 1965-1970.

b) Dalam fasa tengah, kadar kelahiran mulai jatuh perlahan-lahan sungguhpun masih tinggi, tetapi kejatuhan kadar kematian lebih ketara lagi. Contohnya, India dan Morocco pada tahun 1965-1970.

c) Dalam fasa terakhir pada peringkat kedua, kadar kematian mencapai peringkat yang rendah dan kadar kematian terus jatuh dengan banyaknya. Contohnya, Amerika Syarikat pada tahun 1974.

Keseluruhan dunia ketiga berada berada dalam peringkat kedua model peralihan demografi. Fasa awal peringkat ini berkait dengan negara yang ekonominya masih lagi berorientasikan tradisi, tetapi baru mula mengalami penerapan ubat-ubatan moden. Dengan adanya kemajuan dalam perindustrian dan urbanisasi, penduduk menuju ke fasa tengah dalam peringkat kedua model ini. Kadar kelahiran mulai jatuh tetapi tidak sebanyak kejatuhan dalam kadar kematian. Dengan itu terdapat jurang yang luas di antara kedua-kedua ini. Inbdia dan Pakistan adalah antara negara yang termasuk dalam fasa ini. Dengan cepatnya kemajuan, kadar kematian jatuh ke peringkat paling rendah dan diikuti oleh kejatuhan dalam peringkat kelahiran. Ini dapat diistilahkan sebagai fasa terakhir peringkat kedua model peralihan demografi. Contoh negara yang termasuk dalam peringkat ini ialah Malaysia.

Peringkat Ketiga

Dalam peringkat ini, kedua-dua kadar kelahiran dan kadar kematian telah jatuh dan penduduk sama ada stabil a tau bertambah dengan perlahan-lahan sahaja. Namun demikian pertumbuhan yang rendah ini tidaklah sama seperti pada peringkat pertama. Dalam peringkat pertama, pertambahan yang rendah berkaitan dengan kadar kematian dan kadar kelahiran yang tinggi. Sebaliknya pertumbuhan yang rendah di peringkat ketiga adalah hasil daripada kadar kelahiran dan kematian yang rendah. Dalam peringkat ketiga penduduk sangat urbanized.

Prinsip-Prinsip Kedudukan Malthus

Teori Penduduk Malthus

Thomas Malthus berbangsa Inggeris. Beliau merupakan orang yang mula-mula sekali menganalisis masalah penduduk. Beliau menerbitkan bukunya bertajuk Essay on the Principles of Population dalam tahun 1978. Bukunya ditulis dalam zaman awal revolusi perusahaan. Pada masa tersebut pekerjaan dan keadaan hidup sangat buruk di England kerana penduduknya bertambah pada kadar yang cepat. Beliau mengemukakan pendapatnya yang mengatakan bahawa ‘keupayaan penduduk berkembang a dalah lebih cepat daripada keupayaan dunia menghasilkan sara hidup untuk manusia’. Ada kecenderungan untuk penduduk bertambah lebih cepat daripada pengeluaran bekalan makanan. Penduduk berkecenderungan meningkat secara geometri (1,2,4,8,16.32…….), manakala pertambahan makanan secara aritmetik (1,2,3,4,5,6,……..). Pengeluaran makanan tidak bertambah seperti pertambahan penduduk. Akibatnya terjadilah ketidakcukupan bekalan makanan untuk menampung penduduk yang kian bertambah. Perseimbangan hanya dapat dirasai melalui pelbagai sekatan yang menghalang penduduk bertambah lebih cepat daripada pengeluaran makanan. Sekatan positif katanya, ialah melalui kebuluran, penyakit atau peperangan untuk meningkatkan kematian dan mengurangkan pertambahan penduduk. Sekatan-sekatan ini adalah seperti mencegah kelahiran melalui perkahwinan lewat, membujang atau sekatan-sekatan moral.

Pendapatnya yang pesimis itu telah diterima oleh para sarjana dalam kurun ke-19. Hingga ke hari ini pun masih banyak orang berpegang kepada pendapatnya. Semasa beliau menulis bukunya, keadaan di England sangatlah buruk. Bekalan makanan bagi England terpaksa dihasilkan daripada tanah yang didirikan, berkembang pesat dan terlalu sesak, kotor dan tidak bersistem. Penghuni yang tinggal dalam Bandar ini miskin, kurang makanan dan bekerja lebih masa. Dalam keadaan seperti ini, sekiranya bekalan makanan dikurangkan atau penduduk bertambah terlalu cepat, maka akan berlakulah kebuluran, dan kerana ketahanan terhadap penyakit rendah, wabak penyakit berleluasa. Keadaan seperti ini akan menghalang pertambahan pendduduk. Oleh itu Malthus mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa sekatan positif, iaitu bencana alam, peperangan, kebuluran dan penyakit dapat menyekat pertambahan penduduk.

Kependudukan

Pertumbuhan Penduduk

Dalam geografi penduduk, istilah pertumbuhan penduduk diguna dalam erti kata yang seluas-luasnya untuk meliputi bilangan perubahan penduduk yang mendiami sesuatu kawasan pada masa tertentu, tidak kira sama ada perubahan itu negatif atau positif. Kadar pertumbuhan penduduk dunia yang cepat hanya berlaku dalam pertengahan abad ke-17. Sungguhpun data pertumbuhan penduduk tidak diperoleh, nampaknya kadar pertumbuhan penduduk tahunan penduduk bartambah dua kali ganda di antara tahun 1650 dengan 1850, berganda lagi dalam tahun 1920 dan sejak tahun itu penduduk terus meningkat. Menjelang tahun 1970, kadar pertumbuhan penduduk dunia hari ini dianggarkan melebihi 90 juta orang dan sekiranya kadar ini berterusan, penduduk dunia akan bertambah enam kali ganda dalam jangka masa 100 tahun.

Pengaruh pertumbuhan yang besar ke atas pertumbuhan penduduk dunia ialah pertumbuhan penduduk Asia yang pesat. Dalam tahun 1950, pertambahan penduduk yang terendah ialah Eropah, terutamanya Eropah Barat dengan kadar pertumbuhan hanya 0.8%.

Faktor yang mempengaruhi pertumbuhan penduduk di dalam sesuatu kawasan di pengaruhi oleh corak kelahiran, kematian dan juga migrasi.

Thursday, October 11, 2007

Definisi Migrasi

Migrasi adalah penghijrahan sekumpulan manusia dari satu negara ke satu negara yang lain untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka. Sebagai contohnya pada tahun ke-5 kerasulan, Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah melakukan proses penghijrahan atau migrasi dari Mekah ke Madinah untuk mempertahankan akidah dan agama Islam.

Definisi penghijrahan atau migrasi ini amat berbeza dengan pelarian yang membawa maksud sekumpulan manusia yang berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain yakni berpindah ke tempat yang lebih selamat untuk mereka terus hidup setelah mengalami kehidupan yang sengsara kebiasaannya akibat meletusnya peperangan. Perkataan "pelarian " itu sendiri pertama kali digunakan sejak 300 tahun dahulu, bagi menerangkan orang-orang beragama Protestan Hugenots yang melarikan diri dari negeri Peranchis.

Perbezaan antara pelarian dan penghijrahan

Penghijrahan

1. Jika tidak melalui saluran yang sah terutama bagi penghijrah dari luar negara dipanggil pendatang haram ataupun penceroboh.

2. Boleh berlaku dari satu negara ke satu negara atau dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain dalam negara yang contohnya migrasi luar bandar ke bandar.

3. Penghijrahan yang sah diterima baik oleh negara yang didatangi.

4. Masalah penghijrahan ada jalan penyelesaian dan tidak berlanjutan.

5. Bertujuan untuk mempertingkatkan lagi taraf ekonomi atau hidup seperti warganegara Indonesia, Bangladesh, Filiphina yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.

Pelarian

1. Biasanya berlaku di peringkat antarabangsa, melibatkan perpindahan beramai-ramai dari satu negara ke satu negara terutamanya yang berdekatan atau bersempadan.

2. Istilah " Pelarian " digunakan sehingga satu tempoh tertentu, contohnya selepas 14 Mac 1998 , Malaysia telah mengistiharkan pelarian Vietnam sebagai pendatang haram.

3. Terjadi akibat peperangan; diskriminasi bangsa, agama dan warna kulit; perubahan sempadan negeri ; pencerobohan dan perjanjian peperangan.

4. Tidak mendapat jaminan atau perlindungan dari mana-mana pihak.

Globalisasi Ekonomi

Globalisasi ekonomi boleh didefinisikan sebagai pengaliran perdagangan barangan dan perkhidmatan dan juga aliran dana ataupun kewangan tanpa sempadan. Dalam erti kata lain ia juga sebagai perluasan kuasa pasaran ataupun pasaran terbuka menjadi lebih luas.

Dari sudut teorinya seperti kuasa pasaran menjamin tahap kehidupan rakyat, menjamin dalam kecekapan pengaliran modal dan dari segi pasaran walaupun ia dikembangkan masih tetap mempunyai masalah. Masalah yang utama ialah dari segi pengagihan, bagaimana kekayaan itu diagihkan ? Mungkin pengaliran itu datangnya dari negara yang mempunyai kekurangan dana atau modal.

Dari sudut itu kita nampak yang positif tetapi nilai tambahan daripada pengaliran tersebut di mana ia diagihkan. Pengagihan mungkin tidak sama rata daripada yang memberi dana dan yang menerima dana ataupun pemodal-pemodal tersebut. Mungkin juga berlaku eksploitasi daripada negara-negara yang kuat dan itu adalah kesan yang mungkin tidak menguntungkan.

Kita lihat sebagai contoh, apa yang berlaku integrasi di antara negara Eropah contohnya European Union (EU), di mana banyak perbincangan dibuat apakah keuntungan adanya EU kepada negara Eropah. Ada pandangan mengatakan bahawa rata-rata negara terpaksa akur dengan dominasi yang diletakkan dominasi negara Jerman sebagai negara asas. Mereka mesti akur dengan dominasi dan polisi yang ditetapkan oleh Jerman. Jika dilihat dari sudut ini ia tidaklah menguntungkan sesebuah negara kerana ia bergantung kepada siapa kuat dan siapa lemah.

Pengagihan atau kekayaan itu akan mengalir kepada negara-negara yang kuat dan negara-negara yang lemah mungkin ketinggalan. Analisa telah dibuat melihat kepada sepanjang zaman, adakah ada persamaan dari sudut taraf kehidupan dari masa ke semasa? Adakah mengecil jurang perbezaan di antara negara-negara? Pada era ini tidak, apa yang kita lalui ini memberikan kepada kita bukti bahawa jurang perbezaan antara negara termiskin dan negara terkaya semakin meluas.

Kita lihat negara termiskin di Afrika dan negara kaya di Amerika Syarikat dan Eropah di mana negara Afrika mengalami pertumbuhan yang negatif manakala negara Amerika Syarikat dan Eropah mengalami pertumbuhan yang positif. Ini bermakna jurang perbezaan adalah semakin meluas. Kuasa pasaran mestilah dibendong lantaran pelbagai masalah pengagihan yang perlu diambil berat supaya perkembangan ekonomi atau globalisasi ini kita dapat merasai dengan sebenar-benarnya.

Kerakusan negara dunia besar di mana mereka menguasai "order dunia" tetapi kalau kita lihat ia juga memberi kesan dari segi pengagihan kekayaan yang mana akan menjadi satu beban kepada negara-negara yang kecil. Dalam suasana yang sebegini, kita mempunyai satu jiwa yang besar dan masyarakat kita Malaysia mengambil satu pendekatan seperti "kerjasama pintar".

Pendekatan ini dibawa oleh negara kita Malaysia yang tidak begitu besar, mungkin tidak boleh mempengarui negara-negara lain, tetapi pendekatan keuntungan secara bersama. Pemikir-pemikir barat mengatakan dalam konteks sesebuah organisasi mereka membicarakan konsep "stake holder" di mana keuntungan itu tidak tertakluk kepada organisasi itu sahaja tetapi juga mengambil kira kepentingan dari segi pengguna, alam persekitaran, kerajaan dan masyarakat umum.

Adakah nilai-nilai ini tidak mungkin berlaku kepada masyarakat antarabangsa dalam mengubal sesuatu sistem atau "order ekonomi" walaupun kita dalam era globalisasi? Adakah dari segi akademik atau teori ianya tidak dikembangkan dan ini mungkin menguntungkan masyarakat antarabangsa. Memang pihak-pihak di barat juga bimbang, malahan tulisan yang dibuat oleh Gorge Soros dua tahun lalu sendiri pernah menyatakan bahawa sistem yang berdasarkan kerakusan ini jika dibenarkan akan membawa kepada kehancuran.

Menurut beliau, sistem kapitalis dunia itu sendiri akan memusnahkan diri. Dari segi ketidakstabilan ekonomi yang disebabkan oleh pergerakan wang panas atau "hot money" yang menimbulkan keadaan porak peranda. Apa yang kita lalui sekarang ini sudah pernah dilalui oleh negara-negara lain seperti Eropah dan Britain sendiri, matawangnya pernah jatuh hanya masalahnya terbatas. Mexico juga pernah mengalami dan sekarang kita, dan sepertimana yang pernah kita dengar banyak seruan telah dibuat tentang perlu adanya usaha-usaha untuk mewujudkan satu mekanisma antarabangsa yang dapat mengurangkan peranan wang panas ini.

Bagaimana proses Migrasi berlaku ?

Apabila berlakunya proses migrasi dalam sesebuah negara, jelas menunjukkan bahawa negara tersebut sedang membangun dengan begitu pesat. Namun ia bukanlah satu hal yang dapat dibanggakan. Kemasukan pendatang asing sememangnya diperlukan oleh negara ini yang ketika itu dalam proses peralihan pergantungan ekonomi daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan.

Pada awal tahun 1990an, apabila jumlah pendatang meningkat secara luar biasa hingga melebihi satu juta orang, isu ini menjadi hangat dan menimbulkan kebimbangan banyak pihak, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan mereka datang secara haram. Dalam konteks negara kita Malaysia, Kehadiran hampir sebahagian besar tenaga buruh asing inilah yang telah menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara.

Dalam era mencapai wawasan 2020 ini, pergantungan kepada buruh asing kursusnya dalam bidang pembinaan, perladangan dan perkilangan harus dibendung dengan segera. Sudah sampai masanya rakyat negara ini mencontohi warga asing ini yang rajin dan tekun bekerja walaupun bukan untuk negara sendiri. Sebenarnya banyak faktor telah memainkan peranan dalam terjadinya proses migrasi ini.

Antara faktor-faktor tersebut adalah:

  • Faktor ekonomi

Faktor ekonomi merupakan faktor utama yang meyumbang kepada berlakunya proses migrasi ini. Kedudukan ekonomi yang mantap dan kukuh menyebabkan wujudnya banyak sektor-sektor pertanian, pembinaan dan perkilangan, sekaligus membuka peluang kepada rakyat sesebuah negara termasuk juga golongan pendatang yang datang khususnya untuk mencari rezeki di negara orang.

Peluang pekerjaan juga wujud bagaikan "cendawan selepas hujan" disebabkan ramai rakyat tempatan tidak berminat lagi berkecimpung di dalam sektor perladangan dan pembinaan, maka kedatangan penghijrah dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain negara, in seolah-olah satu rahmat kepada para pengusaha sektor tersebut.

Kedatangan golongan pendatang ini terbatas kerana kesukaran untuk masuk secara sah ke dalam sesebuah negara. Kita ambil contoh negara kita Malaysia, walaupun berbagai kawalan ketat telah dijalankan namun sempadan dan perairan negara mudah dibolosi oleh mereka secara haram. Salah satu sababnya ialah wujudnya tekong darat dan laut samada dari golongan mereka sendiri ataupun penduduk tempatan yang menjalankan kegiatan ini semata-mata kerana tamakkan wang ringgit.

  • Taraf ekonomi yang rendah di negara sendiri.

Bagi negara Malaysia khususnya, kemakmuran ekonomi seringkali dijadikan alasan untuk menjelaskan mengapa negara ini menarik perhatian ramai rakyat Indonesia dan Bangladesh malah termasuk juga negara-negara yang mengalami taraf ekonomi yang gawat.

Sejak berlakunya kegawatan ekonomi di rantau Asia ini yang menyebabkan jatuhnya nilai mata wang negara-negara dunia ketiga, dengan secara tidak langsung harga-harga barangan di pasaran meningkat dengan mendadak, maka ini juga merupakan salah satu faktor migrasi berlaku. Taraf kehidupan semakin tinggi jadi sebagai alternatifnya mereka terpaksa mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga masing-masing, memandangkan taraf ekonomi negara mereka yang rendah maka wujudlah migrasi ke negara-negara yang menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada mereka.

Bilangan penduduk yang ramai dengan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang di negara asal mereka, menyebabkan golongan ini terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu jalan yang paling mudah ialah merebut kesempatan yang ada di negara yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

  • Faktor sosiobudaya

Sebenarnya faktor sosiobudaya juga memainkan peranan utama menyebabkan pendatang Indonesia semakin bertambah dari hari ke hari ke negara kita. Bahkan boleh dikatakan faktor sosiobudaya ini memainkan peranan yang sama pentingnya dengan faktor ekonomi, mennjadi daya tarikan kepada pendatang Indonesia ini.

Faktor persamaan sosiobudaya antara kedua-dua negara akan selamanya didapati menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke negara ini.Dengan adanya persamaan ciri-ciri ini proses untuk mereka menyesuaikan diri akan berjalan dengan lancar. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara ini merupakan "pasport" utama, membolehkan mereka mengekalkan dan mempertahankan kedudukan mereka di negara ini.

Hubungan kekeluargaan yang ada didapati sering dijadikan sebagai batu loncatan dikalangan pendatang baru untuk berhijrah ke negara ini. Penghijrahan kaum keluarga terdahulu seolah-olah membentuk satu rangkaian yang memudahkan kedatangan penghijrah lain.Tambahan pula terdapat sebilangan pendatang yang telah mendapat taraf penduduk tetap negara ini, membolehkan mereka ini secara tidak langsung membawa masuk kaum keluarga mereka yang lain.Hal ini dipermudahkan lagi jika pendatang Indonesia tersebut mempunyai sanak saudara yang terdiri daripada rakyat tempatan.

Persamaan cara hidup di kalangan rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia, salah satu faktor yang dikenal pasti mengapa pendatang Indonesia lebih tertarik datang ke negara ini. Dari segi budaya, penduduk yang berbilang kaum, bahasa, makanan, dan kebebasan beragama merupakan antara ciri-ciri yang mempunyai persamaan yang erat antara penduduk kedua-dua negara. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat dapat mengelakkan daripada timbulnya konflik yang besar.

Persamaan bahasa yang ada memudahkan golongan pendatang ini berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Keadaan ini membolehkan mereka berada di negara sendiri. Golongan pendatang Indonesia ini juga mudah tinggal di negara kita disebabkan warga besar mereka yang datang adalah beragama Islam.

Faktor persamaan agama juga memainkan peranan yang agak besar menjadi daya penarik kedatangan golongan ini. Atas dasar saudara di dalam Islam maka sedikit sebanyak kehadiran golongan ini dapat diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di kalangan masyarakat melayu. Kebebasan beragama yang diamalkan di Malaysia secara harmoni dan dihormati oleh semua kaum, menguatkan lagi tarikan untuk datang ke negara ini.

  • Faktor kestabilan politik

Kestabilan politik sesebuah negara memainkan peranan yang penting dan berkait rapat dengan ekonomi negara dan proses migrasi antarabangsa. Sebuah negara yang aman dan makmur secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya migrasi penduduk negara tersebut ke negara lain, sebaliknya menyebabkan penduduk negara lain berhijrah ke negara tersebut.

Dari segi kajian yang telah dibuat menunjukkan ketidakstabilan politik sesebuah negara menyebabkan peratus migrasi yang tinggi, ini dapat dilihat pada negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand dan lain-lain yang berhijrah ke Malaysia secara haram.(Rujuk Jadual 1).


Jadual 1: menunjukkan Tangkapan bagi kesalahan Imigresen 1995-1997.

WARGANEGARA

1995

1996

1997

Indonesia

33258

41766

25237

Bangladesh

13389

7380

5735

Thailand

3009

1680

4705

Filipina

6304

5300

938

Pakistan

1213

501

1493

* Lain-lain

6248

5491

7817

Jumlah

65823

64458

45925

Jadual 1

* Eropah, Komanwel negara-negara merdeka (CIS), Afrika dan Amerika Selatan.


KESAN-KESAN MIGRASI TERHADAP NEGARA PENERIMA

Dewasa ini penghijrahan kewujudan buruh asing telah menjadi satu fenomena yang lumrah di kalangan masyarakat negara penerima. Media massa juga tidak melepaskan peluang ini untuk mewarwarkan berita dan matlumat berkenaan dengan kemasukan buruh asing ke negara mereka.

Pada suatu ketika dahulu, buruh asing lebih banyak tertumpu di negara Eropah Barat, Amerika dan negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat. Namun begitu fenomena buruh asing ini tidak berhenti di situ sahaja , malah ia telah menular dengan pesatnya ke negara-negara Asia Pasifik seperti Korea Selatan, Hongkong, Singapura dan tidak ketinggalan juga di negara kita, Malaysia. Kejadian ini berlaku di sekitar tahun 1960an dan 1970an di mana peluang pekerjaan telah bertambah dengan pesatnya di negara-negara tersebut.

Di Malaysia, fenomena ini berlaku dengan ketaranya di sekitar tahun 1980an di mana pada ketika itu, Malaysia merupakan sebuah negara pengimport buruh terbesar di Asia. Pada penghujung tahun 1993, didapati jumlah buruh asing yang berdaftar sahaja meningkat ke angka satu juta orang. Selain daripada itu, laporan daripada Kementerian Dalam Negeri menunjukkan bahawa terdapat 886000 orang buruh asing memasuki Malaysia tetapi tidak didaftarkan. Daripada matlumat ini , buruh asing di Malaysia termasuk yang tidak berdaftar merangkumi lebih lapan peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia pada tahun 1994.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan dan peranan tenaga buruh asing dalam pertumbuhan ekonomi negara amat penting. Namun begitu kedatangan mereka ke negara kita sudah mencapai tahap yang membimbangkan dan di luar kawalan.Ini akan menimbulkan pelbagai kesan yang negatif baik dari segi ekonomi, politik dan sosial, sekiranya kedatangan buruh asing ini tidak dibendung daripada awal.

Dari aspek Ekonomi, kerajaan telah mengambil langkah yang bijak, dalam mengawal kenaikan gaji buruh dan inflasi dan ini merupakan aspek utama dalam menuju kepada kejayaan pertumbuhan ekonomi. Melalui kaedah ini, kerajaan dapat mengurangkan penggunaan wang yang banyak untuk membayar gaji atau upah kepada buruh asing ini, kerana mereka tidak terlalu meminta-minta gaji yang lebih dan tidak menghiraukan sangat tentang pendapatan yang mereka perolehi, asalkan duit yang mereka terima itu mampu untuk menyara keluarga di negara mereka dan sebagainya. Secara tidak langsung para majikan akan mengambil kesempatan ini untuk mengaut keuntungan kerana mereka tidak perlu lagi menawarkan kos untuk kemudahan sosial seperti tabung kebajikan pekerja, faedah perubatan dan faedah-faedah lain kepada buruh asing ini.

Memang tidak dapat dinafikan, kedatangan buruh asing ke negara kita hanya untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor perladangan, pembinaan, pembantu rumah dan sektor perkhidmatan ( seperti restoran dan jurupam ). Namun begitu, harus diingat dan telahpun terbukti bahawa ramai di kalangan buruh asing yang telah mula bertukar arah yakni menukar bidang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji yang lumayan seperti peniaga kecil-kecilan, juruteknik, sub-kontraktor dan penyelia kilang yang sebelum ini pekerjaan ini telah dipenuhi oleh pekerja tempatan.

Justeru itu, penglibatan buruh asing ini bukan sahaja akan menggugat pendapatan pekerja tempatan malah kedudukan ekonomi orang tempatan. Kalau sebelum ini, orang tempatan dapat menikmati pekerjaan tanpa ada persaingan daripada orang asing, tapi kini tidak lagi, penduduk tempatan terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, dan mengakibatkan wujudnya peningkatan harga rumah, sewa rumah dan keperluan asas yang lain ekoran daripada pertambahan penduduk akibat daripada kehadiran buruh asing yang tidak terkawal di sesebuah tempat.

Peningkatan kemasukan buruh asing ini juga telah memberi kesan Sosial yang penting kepada penduduk tempatan. Sejak akhir-akhir ini media-media massa juga banyak menampilkan berita-berita jenayah seperti merompak, menyamun, mencuri, merogol, menyeludup dan kegiatan pelacuran yang dilakukan oleh buruh asing yang datang ke negara kita.

Ini dapat dilihat dalam jadual 1 di bawah yang menunjukkan statistik penglibatan buruh Indonesia dalam kegiatan jenayah di Semenanjung Malaysia dari bulan Januari 1992 hingga Disember 1994. Pelbagai jenayah yang mereka lakukan seperti pecah rumah, kecurian yang melibatkan harta benda, ( seperti lori, van, kereta dan motosikal ), pembunuhan, percubaan membunuh dan merompak.

SUMBANGAN PASCA BANJIR - SATU KOMITMEN






Batu Pahat (6 Mac 2007)- Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Anak Benih Pokok Buah-buahan seperti rambutan, cempedak, durian, limau kasturi dan pulasan kepada para petani mangsa banjir di kawasan Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

Sebanyak 500 batang pokok buah-buahan telah disampaikan oleh Y. Bhg. Dato̢۪ Prof. Dr. Nik Mustapha R. Abdullah Naib Canselor UPM kepada 20 orang wakil penduduk. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Ghizan Salleh, Tuan Haji Yahya Mohd Salleh, Pegawai Daerah Batu Pahat dan Tuan Malik Bulat, Pegawai Pertanian Daerah Batu Pahat.


Majlis ini secara langsung telah membuktikan kesungguhan UPM dalam usaha menghulurkan bantuan kepada masyarakat, terutamanya dari segi kepakaran dan khidmat nasihat.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan tunjuk cara penanaman pokok dengan tepat buah-buahan serta pencantuman mata tunas oleh pegawai Taman Pertanian Universiti.Menurut Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Y. Bhg. Prof. Dato̢۪ Dr. Nik Mustapha R. Abdullah, sumbangan ini diharap akan membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh petani yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor merupakan salah satu kawasan yang telah dilanda banjir dan tenggelam selama 18 hari. Akibat daripada bencana tersebut hasil tanaman dan ternakan musnah sama sekali.

Sebelum ini, pihak UPM turut menghantar beberapa pakar kejuruteraannya untuk mengkaji sistem pengurusan sumber air terutama di daerah Batu Pahat. Beberapa penyelidik UPM telah dihantar untuk membuat penilaian awal dari aspek teknikal mengenai anggaran kerosakan dalam tempoh masa yang dekat dan jangka panjang, yang melibatkan sektor pertanian di kawasan yang dilanda banjir tersebut.

Bagi pelan tindakan jangka pendek, beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian ialah mengenai pemulihan kawasan, tanaman dan juga sosio ekonomi. Bagi pemulihan kawasan, antara tindakan yang perlu dilakukan ialah dengan memulihkan tanaman, struktur tanah dan infrastruktur di kawasan yang terlibat. Manakala bagi perancangan jangka panjang pula, telah dicadangkan untuk menjalani penyelidikan lanjut bagi memperbaiki kemudahan infrastruktur tertentu seperti pengurusan empangan air.

â€Å“Pihak UPM juga bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan pakar kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negara ini bagi mencari pendekatan yang terbaik untuk menangani banjir berpanjangan, seperti yang berlaku di Johor ini.�? tambah Naib Canselor UPM.

Sebelum ini, rombongan UPM telah berkunjung ke Senggarang, Batu Pahat untuk melihat situasi dan kesan banjir yang dihadapi di kalangan penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Pemberian benih pokok buah-buahan ini membuktikan keprihatinan pihak UPM menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor, khususnya pekebun-pekebun kecil yang memerlukan bantuan akibat tanaman mereka terjejas kerana banjir.

Banjir Menyebab Kemusnahan Infrastruktur



Kerugian Banjir Kilat


Di Malaysia, kematian yang diakibatkan oleh banjir kilat tidaklah sebesar seperti yang dialami oleh Bangladesh, iaitu beratus-ratus ribu nyawa sering terkorban.

Namun begitu, kerosakan kepada harta benda, kemusnahan infrastruktur, kehilangan perniagaan dan kehilangan nyawa adalah signifikan (Chan, 1995). Misalnya, walaupun tiada kajian teliti yang dijalankan, jumlah kerugian dalam banjir 1971 di Kuala Lumpur, banjir Jun 1991 dan banjir September 1995 di Pulau Pinang, dan banjir Disember 1995 di Shah Alam, Selangor dianggarkan berjuta-juta ringgit.

Kos tahunan yang dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia dalam mengendali operasi bantuan bencana banjir (persiapan, penyelamatan, pemindahan, penempatan sementara, pembekalan makanan dan pakaian, serta pemuliharaan mangsa-mangsa banjir) adalah besar. Dari segi kehilangan nyawa, hampir setiap tahun di merata tempat di Malaysia terdapat mangsa yang terkorban.

Biasanya, kerugian akibat banjir yang dianggarkan oleh pihak kerajaan (misalnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran atau oleh Kementerian Pertanian) tertumpu pada kerosakan tanaman, ternakan, infrastruktur awam dan bangunan awam.

Setakat ini, tiada kajian mendalam yang meneliti kerugian yang dialami oleh pihak swasta dan orang awam. Jika kerugian swasta dan orang awam dikira, maka jumlah kerugian akibat banjir mungkin menjadi sangat besar. Misalnya, kajian kerugian banjir yang dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) menunjukkan bahawa purata potensi kerugian bagi satu kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam 10 adalah kira-kira RM500 juta dalam nilai mata wang 1988. Nilai ini akan meningkat sehingga kira-kira RM1,000 juta dalam tahun 2005. Jika sesuatu kejadian banjir dengan tempoh ulangan satu dalam 200 tahun berlaku, maka jumlah kerugian akan meningkat menjadi RM2,500 juta dalam tahun 2005.

Kerugian akibat banjir pada harta benda swasta, perniagaan dan industri juga sangat signifikan. Kerugian yang dialami termasuklah kerugian langsung dan kerugian tidak langsung, kerugian boleh dikesan (tangible loss) dan kerugian tidak boleh dikesan (intangible loss). Misalnya, Chan (1995) mendapati bahawa purata kerugian sesuatu banjir yang dialami oleh sebuah isi rumah dalam tahun 1993 adalah dalam lingkungan RM1,393.

Jumlah kerugian ini nampaknya tidak besar tetapi apabila dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah yang menetap di dataran banjir, maka ia akan menjadi signifikan. Dalam kajian ini, hampir separuh daripada isi rumah yang dikaji mempunyai purata pendapatan bulanan di bawah RM500.

Di dalam kajian yang sama terhadap perniagaan, didapati bahawa hampir semua kedai perniagaan telah mengalami kerugian akibat banjir kilat. Kira-kira 58.9% daripada bilangan pemilik perniagaan yang dikaji mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian melebihi RM1,000 dalam banjir kilat yang baru berlaku.Kira-kira 58.9% daripada bilangan pemilik perniagaan yang dikaji mengatakan bahawa mereka telah mengalami kerugian melebihi RM1,000 dalam banjir kilat yang baru berlaku.

Yang lebih signifikan ialah bahawa 9.3% daripada pemilik perniagaan mengalami kerugian melebihi RM10,000. Kerugian yang dialami oleh industri juga amat besar. Ini demikian kerana banjir sering menyebabkan terganggunya syif kerja dan mengakibatkan kerosakan bahan mentah, barangan siap dan jentera. Memandangkan Pulau Pinang banyak bergantung pada sektor industri, maka kesan banjir kilat menjadi amat penting diketahui.

Kajian ini menunjukkan bahawa kerugian akibat banjir yang dialami oleh industri adalah antara RM10,000 hingga RM500,000 setiap kilang. Jumlah kerugian biasanya bergantung pada jenis dan saiz kilang, dan juga magnitud dan tempoh banjir.


Wednesday, September 19, 2007

Banjir Di Kota Tinggi


Permandangan Kawasan Kota Tinggi. Kemusnahan Prasarana akibat bencana alam di Bandar Kota Tinggi, Johor.

Hampir kesemua bencana semula jadi seperti bencana geologi, biologi, hidrologi dan atmosfera, mungkin memberi kesan atau impak kepada kawasan-kawasan Bandar. Bandar dianggap paling banyak menerima risiko kerana :

  1. Ramai penduduk tinggal dan bertumpu di kawasan Bandar.
  2. Penumpuan dan perkembangan Bandar biasanya di kawasan atau ruang yang relatifnya kecil dan dengan itu meningkatkan kerentaan penduduk yang tertumpu ke kawasan berkaitan. Keadaan ini bertambah ketara apabila berlaku bencana bermagnitud kuat atau berintensiti tinggi.

Sekiranya dikaji dan diselidik kejadian bencana alam semula jadi di dapati berlaku kebanyakannya di Negara-negara Dunia Ketiga. Bencana seismic dan tanah runtuh begitu ketara sekiranya ia berlaku di kawasan Bandar. Bagaimanapun, tiga bencana yang sering menimbulkan masalah di kawasan Bandar ialah :

  1. Banjir khasnya banjir kilat – banyak bahan buangan, masalah mendapan lumpur, longkang yang tersumbat dan sebagainya.
  2. Masalah pencemaran air, udara dan lai-lain.
  3. Masalah pencemaran air bawah tanah kesan daripada pemindahan bahan-bahan beracun, ataman, tanah runtuh berpunca dari pembinaan dan sebagainya.

Infrastruktur Kerajaan Yang Terjejas Akibat Banjir



Balai Polis, Cawangan Trafik di Kota Tinggi yang di tenggelami air.

Sebelum ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mendengar taklimat daripada semua ketua jabatan kerajaan mengenai kerosakan yang dialami terutama kemudahan infrastruktur yang musnah dilanda banjir.

Banjir telah menyebabkan kerosakan kemudahan infrastruktur yang dialami oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelajaran, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Perikanan dan lain-lain adalah amat besar.

Kerajaan Pusat menyegerakan peruntukan bagi memperbaiki kerosakan akibat banjir di seluruh Johor. Jika ini dapat dilakukan kita akan dapat memperbaiki kerosakan infrastruktur yang mencukupi kemudahan asas seperti klinik, jambatan, masjid dan surau serta lain-lain lagi.


kerosakan harta benda akibat banjir di Johor turut melibatkan kawasan pertanian dan Pihak Kerajaan telah mencadang menghulurkan bantuan bagi tujuan meringankan beban pekebun-pekebun kecil supaya mereka boleh memulakan hidup baru setelah semua harta benda dan hasil pertanian musnah akibat banjir.

Biasanya, sebab utama banjir kilat ialah aliran permukaan pesat akibat perubahan guna tanah (dari permukaan telapair seperti hutan kepada permukaan tidak telapair seperti konkrit, simen dan asphalt), alur-alur sungai dan longkang yang tersekat, berkurangnya keupayaan sungai melalui pemendapan kelodak dan kejadian hujan ribut seperti hujan ribut perolakan yang lebat.

Lazimnya, banjir kilat berlaku dengan pesat (iaitu beberapa minit hingga setengah jam selepas hujan berlaku) tetapi juga berakhir dengan cepat (iaitu jangka hidupnya adalah dari setengah jam hingga sehari).





Thursday, August 16, 2007

Demografi



Demografi adalah ilmu yang mempelajari dinamika kependudukan manusia. Meliputi di dalamnya ukuran, struktur, dan distribusi penduduk, serta bagaimana jumlah penduduk berubah setiap waktu akibat kelahiran, kematian, migrasi, serta penuaan. Analisis Demografi dapat merujuk masyarakat secara keseluruhan atau kelompok tertentu yang didasarkan kriteria seperti pendidikan, kewarganegaraan, agama, atau etnisitas tertentu. Ciri-ciri negara penduduk optimum
  1. Contoh negara yang dipilih ialah negara Jepun.
  2. Ciri-cirinya:
  • Pendaptan per kapita amat tinggi di Jepun >AS$ 10 000.
  • Hampir semua penduduk digunakan untuk mengusahakan sumber dalam negeri dengan sepenuhnya (76% jumlah penduduk bekerja).
  • Jepun mengembangkan teknologinya untuk mengusahakan sumber semula jadinya secara maksimum.
  • Peratus penganggurannya sangat rendah 2.8% (1987).
  • 75% jumlah penduduknya tinggal di Bandar.
  • Kadar kenal huruf tinggi kerana penduduk wajib menghadiri sekolah selama 9 tahun.
  • Kadar pertumbuhan rendah, 0.7% setahun.
  • Kadar kelahiran kasar rendah.
  • Taraf kesihatan tinggi menyebabkan kadar kemtian rendah.
  • Jangkaan hayat 76 tahun.
  • Taraf hidup penduduk sangat tinggi.
3. Keadaan penduduk optimum tidak kekal jika penduduk bertambah dengan pesat sumber semulajadi masih terhad kelebihan penduduk akan berlaku

SEBAB-SEBAB MENINGKATNYA BANJIR KILAT DAN TERDEDAHNYA MASYARAKAT BANDAR

Malaysia mengalami rejim iklim khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun. Ciri utama iklimnya ialah jumlah hujan tahunan lebat di antara 1,500 mm hingga melebihi 3,500 mm (Rajah 1). Yang lebih penting ialah kejadian tempoh-tempoh hujan lebat berterusan, biasanya selama beberapa hari dengan intensiti hujannya adalah lebat. Misalnya, jumlah hujan sebanyak 610 mm dalam masa 24 jam merupakan suatu kelaziman.

Pada umumnya, kejadian hujan ribut perolakan semasa musim-musim peralihan monsun pada bulan-bulan April dan Oktober adalah serentak dengan kejadian banjir kilat. Namun begitu, banjir kilat juga sering berlaku di pantai timur semasa musim monsun timur laut. Di pantai barat semenanjung, kejadian banjir kilat juga berlaku pada musim monsun barat daya di negeri-negeri utara semenanjung seperti Kedah dan Perlis.

Semasa musim monsun barat daya, angin barat selatan yang diikuti kejadian ‘badai selari’ (line squalls) yang dikenali sebagai ‘Angin Sumatra’ juga membawa hujan lebat di pantai barat semenanjung, khasnya di Pulau Pinang dan sepanjang pantai Kedah dan Perlis. Pada masa itu, banjir kilat sering berlaku.

Banjir kilat juga telah menjadi semakin kerap pada tahun-tahun kebelakangan ini dan menyebabkan meningkatnya risiko, terdedahnya manusia atau vulnerabiliti manusia kepada banjir. Kawasan dataran banjir memang telah lama merupakan kawasan penempatan yang menarik bagi penduduk Malaysia.

Dari segi sejarah, penduduk awal telah menetap di tepi sungai, muara sungai dan di sekitar dataran banjir berhampiran sungai. Cara penempatan ini mungkin disebabkan oleh kemudahan bekalan air, pertanian dan pengairan, perikanan, pengangkutan dan perhubungan, perlombongan (bijih timah) dan pertahanan. Oleh sebab kebanyakan penempatan terletak di tepi sungai, maka dataran banjir merupakan kawasan yang padat dengan penduduk.

Pada masa ini, telah dianggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 2.5 juta orang yang menetap di dataran-dataran banjir di Malaysia. Mereka inilah yang mengalami risiko tinggi dan yang terdedah kepada bahaya banjir. Dataran banjir juga merupakan kawasan tertumpunya kebanyakan aktiviti ekonomi.

Jadual 2 menunjukkan taburan pusat-pusat bandar di kawasan dataran banjir di Malaysia. Tiga pusat yang terbesar terletak di kawasan dataran banjir.mDi samping itu, lima daripada 10 pusat yang terbesar juga terletak di kawasan dataran banjir dan setengah daripada semua pusat bandar terletak berhampiran dengan sungai. Justeru itu, maka tidak hairanlan bahawa risiko dan terdedahnya masyarakat manusia kepada banjir adalah tinggi.

Pembangunan pesat yang diiringi oleh kadar pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia pada tahun-tahun lewat 1980-an hingga sekarang makin meruncingkan masalah banjir kilat.

Dari 1988 hingga 1995, ekonomi Malaysia telah tumbuh pada kadar 8.0% setahun dan tanda-tanda menunjukkan bahawa ia akan tumbuh dengan lebih pesat lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Dengan kadar pembangunan yang begitu pesat menuju ke arah pencapaian matlamat negara sebagai negara perindustrian baru (NIC), maka lebih banyak kawasan bandar akan berkembang dan lebih banyak kawasan dataran banjir juga akan dimajukan.

Penghijrahan penduduk desa-bandar juga mempengaruhi taburan penduduk yang padat di kawasan dataran banjir bandar. Memandangkan dasar kerajaan menggalakkan penduduk luar bandar meningkatkan taraf hidup mereka, maka ramai penduduk luar bandar telah berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari kemewahan.

Kebanyakan penghijrah ini kemudian tertumpu di kawasan setinggan di bandar-bandar besar. Di Kuala Lumpur, penghijrah-penghijrah biasanya didapati menetap di kawasan setinggan di sekitar Kampung Baru, Kampung Abdullah Haji Hukum. Kampung Pantai Dalam, Jalan Kelang Lama dan Brickfields dan kesemua kawasan berhampiran sungai yang sering dilanda banjir kilat.

Pertumbuhan penduduk bandar yang disebabkan oleh penghijrahan desa-bandar dan pertumbuhan semula jadi telah membawa kepada tekanan-tekanan terhadap tempat kediaman. Kekurangan rumah kos rendah telah menyebabkan proses persetingganan menjadi semakin tidak terkawal.

Dari 1911 hingga 1990, kadar pembandaran telah meningkat dari 10.7% hingga 44.7%. Bilangan pusat-pusat bandar juga telah bertambah lebih daripada lapan kali (Jadual 3). Misalnya, pembangunan adalah begitu pesat sehingga pusat-pusat bandar Kuala Lumpur-Petaling Jaya-Shah Alam -Kelang akan menjadi satu konurbasi berterusan di sepanjangnya lurah Kelang menjelang tahun 2020. Telah dianggarkan bahawa jumlah keluasan kawasan bandar di bahagian tengah lurah Kelang pada tahun 2005 ialah 80.0%.

Di kebanyakan bandar di Malaysia, bencana banjir kilat semakin meningkat dari segi kekerapan dan magnitud kerana manusia memilih untuk menetap di dataran banjir, tidak mengambil berat tentang bahaya banjir, mengurus banjir dengan tidak baik, memajukan tanah dengan berlebihan (khasnya tanah bukit), dan memusnahkan sumber hutan dalam kadar yang pesat. Di Georgetown dan Kuala Lumpur, pembangunan pesat di dataran banjir telah mencetekkan dasar sungai; pembuangan sampah sarap menghalang aliran sungai; dan penggunaan tebing sungai untuk pertanian haram, perumahan haram (setinggan) dan tujuan lain sekurang-kurangnya telah mengakibatkan meningkatnya kekerapan banjir kilat (Chan, 1996a dan 1996b).

Dalam usaha giat mencapai taraf perindustrian, Malaysia mungkin akan terjatuh ke dalam ranjau seperti yang telah menimpa kebanyakan negara maju pada suatu ketika dahulu. Misalnya, Britain dan Amerika Syarikat telah mengalami pertambahan kadar kerosakan harta benda dan kehilangan jiwa sebagai akibat kejadian banjir dan hal ini terjadi kerana kadar pembangunan yang pesat di dataran-dataran banjir.

Tambahan lagi, pembangunan yang pesat lazimnya menitikberatkan aspek-aspek ekonomi dengan mengorbankan aspek-aspek perlindungan banjir. Hal ini mewujudkan strategi pembangunan tidak seimbang yang mengorbankan prinsip-prinsip perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar.

Berdasarkan hasrat dan objektif kerajaan yang terkandung di dalam wawasan 2020nya, Malaysia akan meningkatkan lagi usaha-usahanya di dalam perindustrian dan mempercepat lagi kadar pembangunan ekonominya dalam tahun-tahun 1990-an sehingga tahun 2020.

Justeru itu, semakin banyak kawasan dataran banjir akan dibangunkan dan lebih banyak harta benda, kemudahan awam dan infrastruktur akan menjadi terdedah kepada banjir.

Walaupun wawasan 2020 merangkumi aspek-aspek perlindungan alam sekitar, proses lain seperti pertumbuhan penduduk yang pesat dan migrasi desa-bandar, dan perkembangan sektor swasta dalam perniagaan, perdagangan, perumahan dan industri akan mendedahkan lebih ramai penduduk kepada risiko dan bahaya banjir. Sehubung dengan itu, vulnerabiliti penduduk yang tinggal di dataran banjir terhadap banjir akan menjadi lebih tinggi.

Selain sebab-sebab yang dinyatakan di atas, bergantinya hutan khatulistiwa yang padat dengan permukaan-permukaan tiruan yang tidak telapair seperti simen, konkrit, asphalt, tar dan tanah terdedah telah meningkatkan risiko, terdedahnya penduduk pada banjir kilat di bandar-bandar utama di Malaysia.

Permukaan-permukaan tiruan mengurangkan dengan signifikannya masa tangguhan titisan hujan tiba ke dalam sistem saliran (sungai atau longkang). Di dalam sebuah ekosistem hutan semula jadi, titisan-titisan hujan terpaksa melalui beberapa proses fizikal yang memanjangkan masa air hujan tiba ke dalam sistem saliran. Tambahan lagi, hutan dan tanah juga berupaya menyerap sebahagian daripada hujan. Justeru itu, hanya sebahagian kecil air hujan yang turun dalam ekosistem semula jadi akan masuk ke dalam sistem saliran.

Sebahagian besar telah diserap oleh tumbuhan dalam hutan dan juga oleh tanah sebagai simpanan air tanah. Maka hutan bukan sahaja memanjangkan masa tangguhan tetapi juga menyerap banyak hujan. Sebaliknya, di bawah keadaan permukaan tiruan yang tidak telapair di bandar, hampir kesemua air hujan yang turun akan masuk ke dalam sistem saliran pada tempoh masa yang singkat. Akibat nya masa tangguhan kadangkala cuma beberapa minit sahaja. Aliran yang begitu pesat ke dalam alur-alur sungai dan longkang-longkang saliran akan menyebabkan banjir kilat berlaku.

Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait dengan pengawalan banjir yang kurang efektif juga merupakan salah satu sebab meningkatnya kekerapan banjir kilat. Misalnya, walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ialah pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pengawalan banjir, ia langsung tidak mempunyai kuasa undang-undang apabila tiba masa membuat keputusan-keputusan yang berkait dengan pembangunan sungai, tanah tepi sungai atau tanah dataran banjir.

Dalam hal-hal begini, Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran dan Pejabat Daerah lazimnya merupakan badan-badan berkuasa dalam menentukan kelulusan sesuatu projek pembangunan.

Dalam hal pembangunan tanah di dalam sebuah negeri, malah Kerajaan Persekutuan pun sering tidak mempunyai sebarang kuasa kecuali jika tanah diperlukan untuk membina lebuh raya, bangunan kerajaan atau binaan awam yang lain. Mengikut peraturan pembangunan tanah dataran banjir yang melibatkan saliran atau pengawalan banjir, Kerajaan Negeri perlu meminta nasihat daripada pihak JPS. Justeru itu, JPS akan menilai projek tersebut dari segi keperluan saliran dan pengawalan banjir dan kemudian menyerahkan laporannya kepada pihak Kerajaan Negeri.

Namun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa laporan JPS itu hanya ‘nasihat’ dan bukan peraturan yang perlu diikuti dari segi undang-undang. Oleh sebab faedah-faedah ekonomi dan kewangan adalah sentiasa lebih dipentingkan daripada pertimbangan-pertimbangan saliran, nasihat JPS mungkin diketepikan. Justeru itu, maka tidak hairanlah bahawa sesetengah projek pembangunan masih terus berjalan walaupun spesifikasi-spesifikasi saliran dan pengawalan banjirnya adalah tidak mencukupi.

Sebagai akibatnya, penguatkuasaan peraturan-peraturan saliran dan pengawalan banjir adalah kurang efektif. Jikalau pun pihak Kerajaan Negeri rela menerima dan mengikut nasihat JPS, syarikat-syarikat pembangunan swasta juga sering tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditentukan. Misalnya, mereka tidak menutup kawasan terdedah dengan kain plastik atau menanam semula rumput di atasnya, kurang menanam pokok di kawasan perumahan dan tidak menyediakan longkang dan sistem saliran yang mencukupi.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, telah berlaku beberapa peristiwa buruk yang melibatkan tanah runtuh dan banjir. Salah satu ialah keruntuhan Highland Towers di Kuala Lumpur dalam tahun 1993 (dianggarkan 70 orang telah terkorban), tragedi tanah runtuh Genting Highlands (20 orang telah terkorban), banjir kilat September 1995 di Pulau Pinang dan banjir kilat di Shah Alam dalam Disember 1995.

Kesemua peristiwa tersebut mungkin dapat dielakkan jika JPS mempunyai kuasa undang-undang untuk memastikan peraturan-peraturan guna tanah kawasan bukit, saliran dan pengawalan banjir diikuti. Buat masa kini, JPS hanya merupakan sebuah badan ‘nasihat’ sahaja. Walaupun terdapat banyak implikasi politik, JPS haruslah diberi lebih banyak kuasa undang-undang untuk mengurus dan membuat keputusan di dalam hal-hal yang berkenaan dengan pembangunan tanah di dataran banjir, khasnya yang berhampiran dengan sungai.

Hal yang berkait rapat dengan tidak berkesannya penguatkuasaan peraturan-peraturan pengawalan banjir ialah pembangunan tanah bukit. Misalnya, di Pulau Pinang, permintaan perumahan yang tinggi disebabkan oleh kekurangan tanah pamah. Hal ini telah menyebabkan pemaju-pemaju perumahan mencari alternatif tanah di kawasan berbukit. Justeru itu, banyak tanah bukit telah dan sedang dimajukan di Pulau Pinang.

Kebanyakan projek pembangunan tidak mematuhi undang-undang yang berkait dengan syarat-syarat pembangunannya, malah dimajukan juga projek di tanah bercerun melebihi 20o. Misalnya, di projek perumahan besar Paya Terubong, kerja-kerja pembinaan dijalankan di tanah yang bercerun di antara 50o hingga 70o (Rajah 2). Oleh sebab itu, kawasan luas ini terdedah pada hakisan unsur-unsur cuaca dan hal ini mungkin akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Selain pembangunan di kawasan ini, terdapat juga pembangunan di sekitar Bukit Teluk Bahang, Bukit Tanjung Bungah dan Bukit Bendera.

Pembangunan tanah bukit yang berskala besar mungkin merupakan satu faktor penyumbang peningkatan risiko, dan vulnerabiliti manusia terhadap banjir.

Hal ini demikian kerana pembukaan tanah bukit untuk pembangunan (khasnya untuk perumahan, pertanian dan rekreasi) akan mempercepat kadar hakisan dan kadar air larian permukaan, meningkatkan tanah runtuh dan mencetekkan dasar sungai akibat pemendapan kelodak.

Kesemua hal tersebut akan membawa bertambahnya kekerapan banjir kilat. Misalnya, di dalam banjir September 1995 di Pulau Pinang, kira-kira 60 tanah runtuh telah berlaku di sekitar Bukit Bendera.

Setinggan haram merupakan proses sosial yang telah diperkukuh oleh kuasa-kuasa sosioekonomi dan politik yang lebih menyeluruh (Wan Abdul Halim Othman, 1982). Penempatan di zon-zon dataran banjir bandar yang bahaya (yang sering dibanjiri) oleh setinggan haram turut menyumbang peningkatan risiko, pendedahan dan vulnerabiliti manusia kepada banjir.

Kemunculan koloni-koloni setinggan haram di dataran banjir bandar sejak tahun-tahun 1970-an akibat migrasi desa-bandar merupakan satu tindak balas terhadap seruan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Sebagai akibat meningkatnya taraf pendidikan, maka pemuda-pemudi luar bandar kini tidaklah ingin mengikuti langkah ibubapa mereka untuk menjadi petani, nelayan, buruh kasar atau penternak. Malah mereka langsung tidak mahu hidup di kampung.

Setiap tahun berpuluh-puluh ribu pemuda-pemudi desa berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari kemewahan. Malangnya, bukan semua daripada mereka berjaya. Sebenarnya, segolongan besar terpaksa memilih perumahan murah yang biasanya terdapat di koloni-koloni setinggan.

Di Kuala Lumpur, kawasan-kawasan setinggan terdapat di Kampung Baru, Brickfields, Kampung Haji Hukum Abdullah, Jalan Kelang Lama dan Kampung Pantai Dalam, iaitu kesemuanya terletak di tepi Sungai Kelang. Justeru itu, koloni-koloni setinggan tersebut sering dilanda banjir dan merupakan kawasan-kawasan bahaya.

Di Pulau Pinang, kawasan setinggan juga di dapati di sekitar Sungai Air Itam (di sekitar stadium) dan Sungai Pinang. Kawasan-kawasan tersebut juga mengalami kekerapan banjir kilat yang tinggi. Baru-baru ini satu fenomena baru telah muncul, iaitu yang berkaitan dengan bertambahnya koloni-koloni setinggan pendatang asing Indonesia di sekitar Kuala Lumpur dan bandar besar lain.

Di Pekan pula, terdapat satu koloni setinggan yang terdiri daripada orang pelarian Kampuchea di Pulau Pekan Baru, sebuah penempatan yang dibina di dalam air cetek beting selatan Sungai Pahang.